Sekolah Rendah Kerajaan Ulu Daro (SRK Ulu Daro) telah ditubuhkan dan dibuka dengan rasminya pada tanggal 8 Mei 1960. Sekolah ini terletak di antara Kampung Lemang Pek dengan Kampung Tengah. Jarak dari sekolah ini ke Pekan Daro adalah kira-kira 4 kilometer.
Suatu masa dahulu, sebelum wujudnya jalan raya di sini, sungai merupakan nadi pengangkutan utama dari sekolah ini ke Pekan Daro. Menurut sejarah, SRK Ulu Daro merupakan sekolah yang paling hulu dalam lingkungan Sungai Daro sebelum tertubuhnya SRK Pangtray. Oleh kerana letaknya di hulu Sungai Daro pada masa itu, maka sekolah ini dinamakan sebagai “SRK Ulu Daro, Daro”.
Mengikut sejarah perkembangan kampung di kawasan hulu Sungai Daro, Kampung Lemang Pek merupakan penempatan yang paling awal pada masa itu. Semua murid yang belajar di sini merupakan anak-anak tempatan Kampung Lemang Pek pada masa itu. Dalam masa yang sama, penempatan Kampung Lemang Pek bertambah pesat. Maka, ramai penduduk Kampung Lemang Pek mula mendirikan rumah di sebelah hulu sekolah (mengikut aliran sungai). Lama-kelamaan, penempatan di sebelah hulu sekolah ini semakin bertambah. Pada masa yang sama, sebuah penempatan baru telah diwujudkan dan terletak di antara Kampung Lemang Pek dan Kampung Pangtray. Oleh kerana penempatan baru tersebut terletak di antara dua kampung tersebut, maka ia dinamakan sebagai Kampung Tengah.
Kini, SRK Ulu Daro dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Ulu Daro (SK Ulu Daro). Sekolah ini menempatkan anak-anak Kampung Lemang Pek dan Kampung Tengah. Menurut data terkini (2024), jumlah murid yang belajar di SK Ulu Daro adalah seramai 178 orang, dengan tenaga pengajar seramai 15 orang serta 4 orang kakitangan sokongan sekolah.