Categories
2018 Jasamu Dikenang

Jasamu Dikenang, Cikgu Amira ♥

Gambar utama:
Cikgu Samerin (wakil PIBG) menyampaikan hadiah penghargaan kepada Cikgu Amira
Cikgu Amira Nurhida bt Rolahi, salah seorang dari guru SK Ulu Daro bakal berpindah ke SK Orang Kaya Segurnim, Matu setelah berkhidmat di sini sejak tahun 2013. Perpindahan Cikgu Amira sangat dirasai oleh warga SKUD atas kegigihannya memantapkan kelas pemulihan serta bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti yang telah dijalankan di sini.
Semoga Cikgu Amira terus berjaya dalam perkhidmatannya dalam mendidik anak bangsa di tempat baharu. Warga SKUD ingin mengucapkan terima kasih atas khidmat dan bakti yang telah beliau sumbangkan di sekolah ini.
Categories
2019 Aktiviti Jasamu Dikenang Persaraan

Selamat Bersara, Encik Udin ♥

En. Udin (tengah) bersama En. Abu Bakar, Cikgu Harfan, Cikgu Masdor dan En. Rahman
 
Tarikh: 3 Mei 2019
Masa: 10.00 pagi
Satu majlis sambutan persaraan telah diadakan untuk meraikan bekas staf SK Ulu Daro, iaitu En. Udin bin Mahli, atau lebih mesra dikenali sebagai “Pakcik Jay” yang telah memulakan persaraan beliau pada 18 April yang lalu setelah menabur bakti di SK Ulu Daro selama 37 tahun. Majlis ini telah dihadiri oleh semua guru, staf, dan EXCO PIBG SK Ulu Daro. Turut hadir ialah Penghulu Kpg Tengah, Lemang Pek & Pangtray, En. Abu Bakar bin Salleh; serta YDP PIBG SK Ulu Daro, En. Rahman bin Sulaiman.
Encik Udin telah mula berkhidmat di SK Ulu Daro sejak tahun 1982, dan pernah dipindahkan seketika ke SK Penibong selama beberapa tahun sebelum kembali semula ke SK Ulu Daro. Beliau adalah seorang yang suka bergurau dengan guru dan staf di sini dan mudah bergaul mesra dengan seluruh warga SKUD. Persaraan beliau disambut sangat meriah oleh kerana tempoh perkhidmatannya yang lama di sini menjadikannya sebagai salah seorang “lagenda” di SKUD.  Kami di SKUD amat menghargai segala jasa yang telah dicurahkan oleh Encik Udin sepanjang perkhidmatannya di sini. Semoga Encik Udin dipanjangkan umur dan kekal dirahmati Allah SWT. ♥
Categories
2019 Jasamu Dikenang Selamat Datang

Terima Kasih, Cikgu Ahmad & Selamat Datang, Cikgu Harfan ♥

Cikgu Ahmad menyempurnakan simbolik penyerahan tugas kepada Guru Besar SKUD yang baharu, Cikgu Harfan
Cikgu Ahmad bin Mahmood, Guru Besar SK Ulu Daro bakal berpindah ke SK Sekaan Kechil, Matu (juga sebagai Guru Besar) setelah berkhidmat di sini sejak tahun 2016. Perpindahan Cikgu Ahmad sangat dirasai oleh warga SKUD atas jasa beliau yang banyak merancang dan melaksanakan perubahan di sekolah ini dalam pelbagai aspek. Semoga Cikgu Ahmad terus berjaya dalam perkhidmatannya sebagai pemimpin di sekolah baharu. Warga SKUD ingin mengucapkan terima kasih atas khidmat dan bakti yang telah beliau sumbangkan di sekolah ini.

Hari ini telah diadakan Majlis Perpisahan serta Penyerahan Tugas kepada Guru Besar yang baharu. SKUD juga berbesar hati untuk menyambut kedatangan Guru Besar baharu SKUD, iaitu Cikgu Harfan bin Wahed, yang sebelum ini bertugas sebagai Guru Besar di SK Sok, Matu, dan pernah juga menjadi salah seorang daripada tenaga pengajar di sekolah ini suatu masa dahulu.

SKUD ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-duanya dalam menjalankan tugas baharu masing-masing kelak.

Categories
2019 Aktiviti Jasamu Dikenang

Terima Kasih, Cikgu Isah ♥

Gambar utama:
Penyampaian cenderahati kepada Cikgu Isah oleh Guru Besar SKUD,
Cikgu Ahmad bin Mahmood, ketika majlis perpisahan bersama murid-murid.
♥ ♥ ♥
Rama-rama terbang di padang,
Makin ramai menjelang fajar;
Cikgu Isah penolong kanan terbilang,
Dihormati guru, disayangi pelajar.
 
Pagi-pagi menoreh getah,
Menoreh getah di kebun Pak Irfan;
Ketika bertemu kini berpisah,
Sudah menjadi lumrah kehidupan.
 
Sedap sungguh si buah longan,
Sedap dimakan jika berteman;
Hilang di mata, di hati jangan,
Kusimpan nasihat sebagai pedoman.
 
Gugur berderai air mata,
Hulurkan segera sapu tangan;
Tangan dihulur maaf dipinta,
Jasa dan bakti jadi kenangan.
 
Harum sungguh si bunga melati,
Bunga melati di taman Pak Hassan;
Walaupun berat rasa di hati,
Demi tugas cikgu kami relakan.
 
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.
 
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
InsyaAllah, kita berjumpa lagi.

– Pantun disampaikan oleh Cikgu Dzul Karnain

Selamat maju jaya di tempat baharu, Cikgu Isah ♥
Warga SK Ulu Daro akan merindui dan menghargai jasa dan bakti cikgu sepanjang berkhidmat di sini. Kami doakan agar cikgu sentiasa diberkati Allah SWT.
♥ ♥ ♥
Categories
2019 Aktiviti Jasamu Dikenang PIBG

Jamuan Perpisahan Cikgu Isah ♥

Tarikh: 24 Januari 2019
Masa: 2.00 petang
Tempat: Sugarbun Daro
Satu jamuan perpisahan telah diadakan untuk Cikgu Isah bt Sahnor, Penolong Kanan 1 SK Ulu Daro, yang bakal berpindah ke SK Pangtray setelah menabur bakti di SK Ulu Daro selama hampir 20 tahun. Jamuan ini dihadiri oleh semua guru, staf, serta barisan EXCO PIBG dan alumni SK Ulu Daro. Cikgu Isah bakal memulakan perkhidmatannya di SK Pangtray pada 11 Februari 2019, iaitu selepas Cuti Tahun Baru Cina. Perpisahan amat dirasai oleh seluruh warga SKUD, terutamanya ibu bapa di sekitar SKUD, memandangkan Cikgu Isah adalah anak jati Kampung Lemang Pek dan pernah mengajar kebanyakan ibu bapa serta guru di sini,
Semoga Cikgu Isah kekal sukses di tempat yang baharu, dan terus gigih menabur bakti untuk mendidik anak bangsa. ♥
 
 Penyampaian cenderahati dari PIBG oleh Pn. Nurhidayati Abdullah,
Yang Dipertua PIBG SK Ulu Daro