Categories
2019 Aktiviti HEM

Program 7 Langkah Membersih Tangan Murid Tahun Satu 2019

Program 7 Langkah Membersih Tangan telah dilakukan bersama murid Tahun Satu. Program ini dijalankan selaras dengan percubaan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mencatat rekod The Malaysia Book of Records, iaitu membersih tangan menggunakan Melilea Ecomind Hand Sanitizer bersama lebih 450000 murid Tahun Satu secara serentak di semua sekolah seluruh Malaysia. Program ini telah dijalankan serentak pada jam 10 pagi pada 30 April 2019.
Categories
2019 Aktiviti HEM

Ceramah Kesedaran Penyalahgunaan Dadah Sempena Pesta Daro 2019

ADUN N.43 Daro, YB Safiee bin Ahmad bergambar sambil melaungkan “Belia Benci Dadah” bersama tetamu kehormat serta peserta ceramah
Ceramah Kesedaran Penyalahgunaan Dadah telah dianjurkan oleh PEMADAM Daerah Daro dengan kerjasama AADK Bahagian Mukah bertemakan “Belia Benci Dadah” bersempena Pesta Daro 2019. Seramai 29 orang murid Tahun 6 SK Ulu Daro serta murid-murid lain di sekolah sekitar kawasan Daro telah menghadiri ceramah tersebut yang disampaikan oleh wakil daripada AADK Bahagian Mukah. Ceramah ini telah dirasmikan oleh ADUN N.43 Daro, YB Safiee bin Ahmad.
Antara intipati ceramah ini ialah tentang bahaya penyalahgunaan dadah serta tips kepada murid untuk mengenalpasti jenis-jenis dadah yang perlu dielakkan. Semoga ceramah ini dapat menambah lagi ilmu pengetahuan kepada murid-murid Tahun 6 SKUD dan sedar bahawa penyalahgunaan dadah adalah musuh utama negara kita.
Categories
2019 Aktiviti HEM

Program Ziarah Cakna SKUD Bil. 1/2019

Cikgu Ahmad, Guru Besar SKUD menyampaikan sumbangan kepada En. Ali Akbar bin Aban
Program Ziarah Cakna SKUD telah diadakan buat kali pertamanya pada sebelah petang tadi, di mana guru-guru SKUD telah melawat rumah Ketua Kampung bagi Kampung Tengah, iaitu Encik Ali Akbar bin Aban, untuk menziarahi keluarga murid Tahun 6, iaitu Adik Muhammad Aidid Equwan bin Ali Akbar.
Program Ziarah Cakna merupakan program anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang baru dilancarkan awal tahun ini. Ia bertujuan untuk memperluaskan konsep sekolah penyayang dan memperkukuhkan hubungan antara sekolah dengan ibu bapa serta penjaga. Program ini akan dilaksanakan sepanjang tahun secara berkala, di mana pihak sekolah akan menziarahi rumah murid yang terpilih untuk bertanya khabar dan berkongsi perkembangan murid serta memahami latar belakang keluarga mereka.
Categories
2019 Aktiviti HEM

Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan Ke-35

Sesi Bacaan Pagi pada pagi ini telah diisi dengan bacaan perutusan Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan Ke-35 dari Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan, yang dibacakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran SKUD, Cikgu Masdor bin Madong. Hari ini, 19 Februari 2019, merupakan Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan Ke-35 bertemakan “Komuniti Kita Tanggungjawab Kita.” Antara intipati perutusan tersebut ialah ia menyeru supaya seluruh anggota masyarakat, dari peringkat, guru, murid, ibu bapa dan komuniti sekeliling perlu bekerjasama untuk memerangi dadah, dan tidak meletakkan usaha memerangi dadah kepada hanya pihak atasan sahaja.
PK1, Cikgu Masdor membaca perutusan
Bulan Antidadah Kebangsaan disambut pada setiap bulan Februari setiap tahun. Sambutan ini bertujuan untuk memberi peringatan kepada orang ramai bahawa dadah masih merupakan ancaman utama kepada negara dan kesihatan.

Objektif utama sambutan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat tentang gejala dadah sebagai musuh nombor satu negara. Sebagai agensi yang terlibat dalam memerangi dadah, Agensi Antidadah Kebangsaan bertanggungjawab meningkatkan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat bahawa dadah memudaratkan kesihatan serta menyampaikan maklumat dan perkembangan terkini mengenai masalah dadah dalam negara kepada orang ramai. Disamping itu juga sambutan ini mampu untuk meningkatkan komitmen dan kerjasama daripada pelbagai agensi dan semua pihak dalam usaha membanteras dadah.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.adk.gov.my/bulan-antidadah-kebangsaan-2019/

Perutusan boleh diakses melalui pautan https://www.adk.gov.my/perutusan-ketua-pengarah-agensi-antidadah-kebangsaan-sempena-sambutan-hari-antidadah-kebangsaan-ke-35/

Categories
2019 Aktiviti HEM

Pelancaran Program Jom Ke Sekolah Tahun 2019

Perasmian Papan Kenyataan PSS disempurnakan oleh Guru Besar SKUD, Cikgu Ahmad dan Pembantu Pegawai Perhubungan Sekolah, Koperal Helen anak Entalai
 
Tarikh: 18 Februari 2019
Masa: 7.30 pagi
Tempat: Bilik Solat SKUD
Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, iaitu Program Jom Ke Sekolah Tahun 2019 telah diadakan di SKUD, dan dijalankan serentak di semua sekolah di seluruh Malaysia. Program ini dianjurkan bertujuan untuk menangani permasalahan disiplin dan salah laku murid. Program ini dihadiri oleh Pembantu Pegawai Perhubungan Sekolah dari IPD Matu Daro, Koperal Helen anak Entalai; EXCO PIBG, guru-guru serta murid SKUD.
Pada program ini, perutusan dari Ketua Polis Negara Malaysia telah disampaikan oleh Koperal Helen, manakala perutusan dari Menteri Pendidikan Malaysia telah disampaikan oleh Guru Besar SKUD, Cikgu Ahmad bin Mahmood. Turut berlangsung juga ialah perasmian Papan Kenyataan Pegawai Perhubungan Sekolah (PSS) sebagai medium penyampaian maklumat antara pihak sekolah dan pihak berkuasa polis. Perasmian ini disempurnakan oleh Guru Besar, Cikgu Ahmad dan Pembantu Pegawai Perhubungan Sekolah, Koperal Helen.