Categories
2019 Aktiviti Jasamu Dikenang

Terima Kasih, Cikgu Isah ♥

Gambar utama:
Penyampaian cenderahati kepada Cikgu Isah oleh Guru Besar SKUD,
Cikgu Ahmad bin Mahmood, ketika majlis perpisahan bersama murid-murid.
♥ ♥ ♥
Rama-rama terbang di padang,
Makin ramai menjelang fajar;
Cikgu Isah penolong kanan terbilang,
Dihormati guru, disayangi pelajar.
 
Pagi-pagi menoreh getah,
Menoreh getah di kebun Pak Irfan;
Ketika bertemu kini berpisah,
Sudah menjadi lumrah kehidupan.
 
Sedap sungguh si buah longan,
Sedap dimakan jika berteman;
Hilang di mata, di hati jangan,
Kusimpan nasihat sebagai pedoman.
 
Gugur berderai air mata,
Hulurkan segera sapu tangan;
Tangan dihulur maaf dipinta,
Jasa dan bakti jadi kenangan.
 
Harum sungguh si bunga melati,
Bunga melati di taman Pak Hassan;
Walaupun berat rasa di hati,
Demi tugas cikgu kami relakan.
 
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.
 
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
InsyaAllah, kita berjumpa lagi.

– Pantun disampaikan oleh Cikgu Dzul Karnain

Selamat maju jaya di tempat baharu, Cikgu Isah ♥
Warga SK Ulu Daro akan merindui dan menghargai jasa dan bakti cikgu sepanjang berkhidmat di sini. Kami doakan agar cikgu sentiasa diberkati Allah SWT.
♥ ♥ ♥
Categories
2019 Aktiviti Jasamu Dikenang PIBG

Jamuan Perpisahan Cikgu Isah ♥

Tarikh: 24 Januari 2019
Masa: 2.00 petang
Tempat: Sugarbun Daro
Satu jamuan perpisahan telah diadakan untuk Cikgu Isah bt Sahnor, Penolong Kanan 1 SK Ulu Daro, yang bakal berpindah ke SK Pangtray setelah menabur bakti di SK Ulu Daro selama hampir 20 tahun. Jamuan ini dihadiri oleh semua guru, staf, serta barisan EXCO PIBG dan alumni SK Ulu Daro. Cikgu Isah bakal memulakan perkhidmatannya di SK Pangtray pada 11 Februari 2019, iaitu selepas Cuti Tahun Baru Cina. Perpisahan amat dirasai oleh seluruh warga SKUD, terutamanya ibu bapa di sekitar SKUD, memandangkan Cikgu Isah adalah anak jati Kampung Lemang Pek dan pernah mengajar kebanyakan ibu bapa serta guru di sini,
Semoga Cikgu Isah kekal sukses di tempat yang baharu, dan terus gigih menabur bakti untuk mendidik anak bangsa. ♥
 
 Penyampaian cenderahati dari PIBG oleh Pn. Nurhidayati Abdullah,
Yang Dipertua PIBG SK Ulu Daro
Categories
2019 Aktiviti Kurikulum PIBG UPSR

Sesi Randau Bersama Guru, Ibu Bapa & Murid Tahun 6 (2019)

Tarikh: 22 Januari 2019
Masa: 2.30 petang
Tempat: Bilik Mesyuarat SKUD
Satu sesi randau telah diadakan oleh pihak sekolah bersama ibu bapa serta murid Tahun 6. Sesi randau ini juga dihadiri oleh guru-guru yang mengajar Tahun 6, khususnya matapelajaran dalam UPSR. Sesi randau ini dipengerusikan oleh Guru Besar, Cikgu Ahmad bin Mahmood. Antara agenda sesi ini adalah pembentangan program kecemerlangan UPSR serta penetapan sasaran untuk UPSR 2019. Guru yang mengajar matapelajaran UPSR, iaitu Cikgu Davern, Cikgu Isah dan Cikgu Sollehuddin turut menyampaikan pesanan serta amanat kepada ibu bapa dan murid yang hadir.
Categories
2019 Aktiviti Kurikulum

Majlis Penutupan Minggu Transisi Tahun 1 (2019)

Gambar utama:
Persembahan bacaan “Big Book” oleh murid Tahun 1
Tarikh: 22 Januari 2019
Masa: 11.00 pagi
Tempat: Bilik Solat SK Ulu Daro 
Majlis Penutupan Minggu Transisi Tahun 1 telah diadakan bagi meraikan murid-murid Tahun 1 SKUD yang telah menjalani pelbagai aktiviti untuk menyesuaikan diri dengan suasana persekolahan dalam kelas perdana. Mereka telah melakukan persembahan bacaan “Big Book” (Bahasa Melayu), nyanyian lagu “Phonics Song” (Bahasa Inggeris) dan lagu “Saya Seekor Gajah” (Pendidikan Kesenian).
Enam anugerah telah diberikan kepada beberapa orang murid yang telah menonjolkan pencapaian terbaik sepanjang Minggu Transisi ini berlangsung. Antara pemenang anugerah tersebut ialah:
Terbaik Bahasa Melayu:
Khairul Ilmin bin Amran
Terbaik Bahasa Inggeris:
Nurul Aqilah bt Rahman
Terbaik Sains:
Nur Ain Najwa Abdul Rashid
Terbaik Matematik:
Asyraf Hazwan bin Ahmad Symek
 
 Terbaik Pendidikan Agama Islam:
Abg Awwalhafiz bin Abg Abdul Taib
Tulisan Tercantik:
Fiefy Aiza Ellfisya bt Adenan
Selamat maju jaya kepada semua murid Tahun 1, dan teruskan usaha untuk belajar bersungguh-sungguh!
Categories
2019 Kokurikulum Sukan

Pemilihan Peserta Merentas Desa Daerah Daro 2019

Gambar utama:
Bersama peserta dan guru pengiring Zon Tanjung Alan
 
(Siti Aisyah: hadapan, dua dari kiri
Hamka: tengah, dua dari kiri
Cikgu Fathi: belakang, empat dari kiri)
 
 
Tarikh: 18 Januari 2019
Tempat: Stadium Mini Matu
Satu sesi pemilihan telah dijalankan di Stadium Mini Matu hari ini untuk menentukan wakil Daerah Daro ke Pertandingan Merentas Desa Peringkat Bahagian Mukah. Bagi mewakili Zon Tanjung Alan, SK Ulu Daro telah menghantar dua orang wakil, iaitu Adik Hamka bin Abdul Rajit dan Adik Siti Aisyah binti Roselan, diiringi oleh Cikgu Fathi bin Baijuri. Walaupun kedua-duanya tidak berjaya dipilih sebagai wakil daerah untuk ke peringkat bahagian, namun semangat dan kecekalan yang ditunjukkan oleh dua orang murid ini harus diraikan oleh warga SKUD.
Hamka (kiri) dan Siti Aisyah (kanan) ketika sesi pemilihan