Tarikh: 14 November 2018
Masa: 12.30 – 1.30 tengah hari
Tempat: Pusat Akses SK Ulu Daro
Masa: 12.30 – 1.30 tengah hari
Tempat: Pusat Akses SK Ulu Daro
Seramai 33 orang murid Tahun 6 SK Ulu Daro telah menyertai kempen Skype-a-Thon yang julung kali diadakan di sekolah ini. Dibimbing oleh Guru Penyelaras ICT, Cikgu Khairul Azlan, mereka telah berhubung secara maya menggunakan Skype dengan Samseo Elementary School di Jangseong, Korea, di bawah bimbingan Cikgu Seo Wooyeon. Perjalanan maya ini adalah sejauh 3946 km (2452 batu). Aktiviti ini merupakan lanjutan daripada persidangan yang dihadiri oleh Cikgu Khairul di Singapura pada bulan Mac yang lalu.
Skype-a-Thon merupakan sebuah aktiviti yang dianjurkan secara global oleh Microsoft melibatkan beberapa sekolah di seluruh dunia. Dalam masa 2 hari yang diperuntukkan (13-14 November), semua sekolah akan berhubung dengan sekolah di negeri atau negara lain dan bertukar-tukar pengalaman serta berkomunikasi antara satu sama lain. Pada masa yang sama, Skype-a-Thon tahun ini juga adalah kempen untuk membantu WE Schools, iaitu satu kelompok sekolah yang menggerakkan anak-anak muda untuk mengesan isu tempatan dan antarabangsa yang berlaku di sekeliling mereka. Bagi setiap 2000 batu (3218 km) pada jumlah jarak yang dilalui sepanjang sesi tahun ini, Microsoft akan memberi sumbangan kepada sekolah yang dibantu dalam program WE Schools.
Sepanjang panggilan video tersebut, kedua-dua pihak telah menjalankan Mystery Skype (meneka negara mana yang mereka berhubung), persembahan dan juga mempelajari bahasa masing-masing. Kelas di Korea telah membuat persembahan lagu tradisional “Arirang” dan tarian tradisional. Manakala, murid SK Ulu Daro telah membuat persembahan lagu “Flashlight” (dari Jessie J) dan “Rasa Sayang”.
Aktiviti ini adalah percubaan sebelum merancang untuk melakukan marathon Skype pada tahun 2019. Kesemua murid Tahun 6 tersebut telah mendapat manfaat dari aktiviti ini serta telah mengenali kawan baharu mereka dari luar negara.
Video panggilan Skype tersebut boleh ditonton di bawah.










































































