Categories
2018 ICT Pencapaian

Cikgu Khairul Mewakili Malaysia ke Education Exchange 2018, Singapura

Gambar utama:
Gambar kenangan bersama guru-guru lain dari seluruh dunia di Education Exchange 2018
Setelah melakukan persiapan selama 3 bulan, Cikgu Khairul telah memulakan perjalanannya untuk menghadiri persidangan Education Exchange (E2) 2018 pada 9 Mac yang lalu. Beliau telah menjalani sesi persediaan (Bootcamp) di Microsoft Malaysia, Kuala Lumpur pada tarikh tersebut, sebelum berada di Singapura pada 12-15 Mac 2018. Persidangan yang masuk tahun keempat tersebut telah diadakan di Grand Copthorne Waterfront Hotel, Singapura. Cikgu Khairul merupakan salah seorang daripada 4 orang guru dari seluruh Malaysia yang terpilih untuk mewakili negara bagi menghadiri persidangan tersebut di bawah program Microsoft Inovative Educator (MIE) Expert. Malah, beliau adalah wakil pertama dari negeri Sarawak sejak persidangan ini diperkenalkan pada tahun 2015.
Bootcamp E2 di Microsoft Malaysia, Kuala Lumpur
Dari kiri: Wan Juliana, Wan Azrina, Nur Hayati, Cikgu Khairul & Haniff
Beliau menghadiri persidangan tersebut bersama MIE Fellow dari MARA, Pn. Wan Juliana, sebagai ketua kontijen; Pn. Maimunah, dari Bahagian Teknologi Pendidikan; Pn. Lai Li Kuan, Teacher Engagement Manager Microsoft; dan En. Johan Termizi, wakil dari MDEC Malaysia. Tiga orang wakil lain adalah Cikgu Wan Azrina (SMK Kubang Kerian, Kelantan), Cikgu Nur Hayati (MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor) dan Cikgu Haniff (SK Jasin, Melaka).
Cenderamata dari pihak Microsoft

Sepanjang berada di Singapura, Cikgu Khairul telah menyaksikan perkongsian daripada pelbagai guru inovatif dari seluruh dunia dan bertukar-tukar idea dengan guru-guru lain yang hadir pada persidangan tersebut. Cikgu Khairul juga telah berkesempatan untuk bertemu dengan guru dari Ghana, Richard Appiah Akoto, yang menjadi tular setelah gambar beliau mengajar murid subjek ICT dengan melukis perisian Microsoft pada papan hitam tersebar luas di Internet.

 Swafoto bersama Richard Appiah Akoto (Ghana)

Cikgu Khairul juga telah melalui Educator Challenge, iaitu satu sesi cabaran di mana beliau telah ditempatkan dalam kumpulan yang mempunyai ahli dari negara berlainan. Fokus cabaran tersebut ialah untuk menghasilkan sebuah sesi pengajaran melibatkan PAK21 dan pemikiran komputasional (computational thinking). Kumpulan beliau telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam kategori “Abstraction”.

 Kumpulan 13: Jaehong Kim (Korea), Cikgu Khairul, Tim Muir (New Zealand), Arnaud Markert (Perancis) dan Steve Morgan (MIE Fellow dari Singapura)
Gambar kumpulan ketika menerima anugerah bersama Anthony Salcito, Vice President of Microsoft Education

Tahniah diucapkan kepada Cikgu Khairul, dan semoga pengalaman beliau di sana dapat membantu untuk memantapkan lagi PAK21 di SK Ulu Daro. Pencapaian ini harus menjadi inspirasi kepada semua warga SK Ulu Daro supaya sentiasa berusaha untuk memantapkan lagi kemahiran yang telah sedia ada pada diri masing-masing.

Galeri Kenangan Cikgu Khairul di E2 2018, Singapura

Leave a Reply

Your email address will not be published.