Gambar utama:
Para pemenang anugerah bergambar kenangan bersama Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus
Tarikh: 25 Oktober 2018
Tempat: Dewan Suarah Kota Samarahan, Samarahan
Dua orang guru dari SK Ulu Daro, iaitu Cikgu Ahmad dan Cikgu Khairul telah menghadiri Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah Peringkat Negeri Sarawak 2018 di daerah Samarahan, anjuran bersama Jabatan Pendidikan Sarawak, Bahagian Teknologi Pendidikan Sarawak, Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyeldidikan Teknologi Sarawak (MESTR) dan Sarawak Multimedia Authority (SMA).
Cikgu Ahmad, Guru Besar SKUD, mewakili sekolah untuk menerima Anugerah Terbaik “Virtual Learning Environment (VLE) Kategori Sekolah Rendah Teknologi OCPE 4G”. Anugerah ini disampaikan kepada sekolah yang aktif dalam penggunaan Frog VLE, menggunakan teknologi OCPE yang disediakan oleh 1Bestarinet.
Cikgu Ahmad menerima anugerah Frog VLE dari Ketua Penolong Pengarah BTPN Sarawak, En. Thomas Kanyan Anak Siam.
Cikgu Khairul pula menerima dua anugerah. Anugerah pertama ialah “Microsoft Innovative Educator (MIE) Expert 2018” yang diterima oleh 12 orang MIE Expert yang pernah mewakili Sarawak untuk kelayakan ke Microsoft Education Exchange. Seramai 3 orang guru lain dari Daro (SK Camporan, SK Hijrah Badong, dan SK Sungei Passin) juga terpilih untuk menerima anugerah ini.
Cikgu Khairul menerima anugerah MIE Expert dari Ketua Penolong Pengarah BTPN Sarawak, En. Thomas Kanyan Anak Siam.
Anugerah kedua ialah Pencapaian Guru Peringkat Antarabangsa 2018. Ini adalah susulan daripada kejayaan Cikgu Khairul yang berjaya menjadi guru pertama dari Sarawak untuk mewakili Malaysia bagi menghadiri Microsoft Education Exchange di Singapura pada bulan Mac yang lalu. Selain dari piala serta sijil, Cikgu Khairul juga telah menerima sebuah komputer riba sumbangan khas dari BTPN Sarawak. Anugerah khas ini disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus.
Cikgu Khairul menerima anugerah Guru Peringkat Antarabangsa dari Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak
Warga SKUD sangat berbangga atas pencapaian ini. Semoga anugerah ini meningkatkan lagi tahap pembestarian sekolah di SKUD dan menggalakkan lagi budaya ICT dalam kalangan warga sekolah.




