En. Udin (tengah) bersama En. Abu Bakar, Cikgu Harfan, Cikgu Masdor dan En. Rahman
Tarikh: 3 Mei 2019
Masa: 10.00 pagi
Satu majlis sambutan persaraan telah diadakan untuk meraikan bekas staf SK Ulu Daro, iaitu En. Udin bin Mahli, atau lebih mesra dikenali sebagai “Pakcik Jay” yang telah memulakan persaraan beliau pada 18 April yang lalu setelah menabur bakti di SK Ulu Daro selama 37 tahun. Majlis ini telah dihadiri oleh semua guru, staf, dan EXCO PIBG SK Ulu Daro. Turut hadir ialah Penghulu Kpg Tengah, Lemang Pek & Pangtray, En. Abu Bakar bin Salleh; serta YDP PIBG SK Ulu Daro, En. Rahman bin Sulaiman.
Encik Udin telah mula berkhidmat di SK Ulu Daro sejak tahun 1982, dan pernah dipindahkan seketika ke SK Penibong selama beberapa tahun sebelum kembali semula ke SK Ulu Daro. Beliau adalah seorang yang suka bergurau dengan guru dan staf di sini dan mudah bergaul mesra dengan seluruh warga SKUD. Persaraan beliau disambut sangat meriah oleh kerana tempoh perkhidmatannya yang lama di sini menjadikannya sebagai salah seorang “lagenda” di SKUD. Kami di SKUD amat menghargai segala jasa yang telah dicurahkan oleh Encik Udin sepanjang perkhidmatannya di sini. Semoga Encik Udin dipanjangkan umur dan kekal dirahmati Allah SWT. ♥































